Dalam usaha Kerajaan mendorong pertumbuhan inklusif, pengagihan pendapatan keseluruhan juga bertambah baik. Ini ditunjukkan oleh “Gini Coefficient” sebanyak 0.399 pada tahun 2016, turun dari 0.401 pada tahun 2014, menunjukkan penurunan jurang pendapatan dalam kalangan rakyat. Dari perspektif serantau, jurang pendapatan di Malaysia adalah lebih kecil berbanding beberapa negara maju seperti Singapura (GINI: 0.458) dan Hong Kong (GINI: 0.539).

Disamping usaha untuk meningkatkan hasil negara, kerajaan juga sedang melaksanakan langkah konsolidasi fiskal bagi mencapai sasaran bajet hampir berimbang (near-balanced budget). Langkah ini bertujuan untuk mengurangkan paras hutang negara serta mengukuhkan kedudukan kewangan kerajaan.

Saya ingin mengajak semua warga kementerian dan agensi untuk memperbaharui azam dan iltizam kita sebagai penjawat awam, khususnya dalam meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada “our stakeholders” termasuk orang awam, badan korporat dan kementerian-kementerian, serta agensi-agensi kerajaan yang lain.

Sebagai kementerian yang bertanggungjawab sebagai pemangkin ekonomi negara dan pada masa yang sama pengurus khazanah negara, amatlah penting bagi kita untuk terus mengamalkan nilai integriti, kepimpinan serta mengamalkan budaya keterbukaan dalam membentuk sesuatu dasar, dan kemahiran berkomunikasi yang berkesan. 

Sebagai penjawat awam kita perlu bijak untuk menambah nilai kemahiran dan keupayaan diri. Justeru, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menggalakkan agar budaya perkongsian ilmu sesama penjawat awam dapat dilaksanakan.

22 Januari 2018 : Majlis Amanat Tahun Baharu MOF 2018, Putrajaya