
Jawapan berlandaskan fakta-fakta kepada soalan dan isu yang dibangkitkan oleh pelbagai pihak.
Adakah keputusan meninggalkan dunia korporat itu satu keputusan yang sukar buat Datuk Seri ?
Saya membesar di dalam sebuah persekitaran miskin bandar di kawasan setinggan di Kampung Pandan, Kuala Lumpur. Saya sendiri merasai susah payah masyarakat di situ dan pada masa itu saya berazam untuk mencari jalan bagaimana untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat di kawasan yang mana saya membesar.
Selepas tamat belajar di luar negara, saya pulang ke tanahair dengan kelulusan jurusan perakaunan ACCA dan dalam masa yang sama saya terlibat aktif di dalam aktiviti kemasyarakatan dan terus aktif di dalam politik. Ketika saya ditawarkan untuk menjadi calon ahli parlimen Titiwangsa untuk Pilihanraya Umum ke-13 saya sudah pun menjadi ahli korporat yang menguruskan syarikat bernilai ratusan juta. Setelah memenangi kerusi parlimen Titiwangsa dan menjadi ahli parlimen biasa selama 2 tahun, saya ditawarkan menjadi Timbalan Menteri Kewangan. 11 bulan selepas itu saya dilantik menjadi Menteri Kewangan Ke-II.
Keputusan yang saya buat untuk berhijrah dari dunia korporat kepada pentadbiran awam bermakna saya perlu menghadapi potongan gaji yang besar. Walaubagaimanapun saya mendapati berkhidmat kepada rakyat memberi saya lebih kepuasan bukan dari segi wang tetapi dari segi kelainan perkhidmatan yang saya boleh bawa kepada rakyat dan halatuju negara dari segi kewangan dan ekonomi.
Apakah cabaran-cabaran utama yang dihadapi oleh ekonomi Malaysia ?
Sebagai sebuah negara yang mengamalkan ekonomi terbuka, kerajaan sering mengambil jalan terbuka dalam menguruskan ekonomi negara. Kita tidak selamat daripada terdedah kepada kesan-kesan yang timbul daripada cabaran-cabaran di dalam dunia. Ketidaktentuan harga komoditi yang berpanjangan terutamanya harga minyak mentah dunia, ketidaktentuan yang timbul daripada kenaikan kadar faedah Amerika Syarikat oleh Federal Reserve, Bank Pusat Amerika Syarikat, konflik-konflik geo-politik, pengimbangan semula ekonomi China dan juga Brexit adalah antara cabaran-cabaran yang memberi kesan kepada perjalanan ekonomi negara kita. Walaupun berdepan dengan kesan-kesan yang berpunca daripada cabaran ini ekonomi Malaysia masih mampu berkembang secara positif.
Apakah prospek ekonomi Malaysia pada tahun ini (2018) dan tahun-tahun yang mendatang pada pendapat Datuk Seri ?
Tahun lepas kita menyaksikan pemulihan ekonomi global di mana harga komoditi terutamanya harga minyak mentah dunia kembali meningkat, aktiviti perdagangan eksport dan import kembali rancak, ekonomi global seperti Amerika Syarikat, Eropah dan China mula stabil. Ini mendorong ekonomi Malaysia untuk mencatatkan pertumbuhan yang memberangsangkan untuk tiga suku yang pertama bagi tahun 2017.
Saya berpendapat prospek ekonomi Malaysia bagi tahun ini adalah cerah dan akan meneruskan momentum pertumbuhan ekonomi yang kita kecapi tahun lepas. Walaubagaimanapun ada kebarangkalian untuk cabaran-cabaran global yang saya sebut tadi timbul semula, jadi kerajaan perlu bersiap sedia untuk menghadapinya.
Angka-angka ekonomi seperti Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tidak akan memberi makna kepada rakyat sekiranya ianya tidak boleh dirasai oleh mereka. Pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan ini mesti diterjemahkan kepada penciptaan pekerjaan dan peningkatan pendapatan untuk rakyat kerana akhirnya tugas dan tanggungjawab kerajaan adalah untuk berkhidmat kepada rakyat.
Bagaimana Datuk Seri melihat prestasi keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara yang berkembang 5.9 peratus pada tahun lalu ?
Kalau kita tengok KDNK, ia merangkumi banyak aspek. Saya ingin menyentuh dari segi aktiviti ekonomi. Kita hendak membangunkan ekonomi kita supaya mencapai negara maju. Bila hendak mencapai negara maju, ekonomi negara mesti terus berkembang. Kalau tidak terus berkembang, sukar untuk kita meningkatkan pendapatan isi rumah. Dalam proses membangunkan ekonomi, sudah tentu kita terpaksa mencari beberapa strategi bagaimana kita dapat meningkatkan ekonomi di samping meningkatkan pendapatan isi rumah. Salah satu strategi ialah kita kena sentiasa menggiatkan ekonomi iaitu dengan mewujudkan industri-industri baharu dalam kita membangunkan ekonomi. Contoh, kita membangunkan infrastruktur awam seperti Transit Aliran Massa (MRT), Transit Aliran Ringan (LRT), Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura.
Semua ini bukan sahaja memberi manfaat kepada perkembangan ekonomi malah menambah peluang pekerjaan dan keusahawan. Dalam membangunkan ekonomi, kita juga menumpukan kepada soal-soal berasaskan teknologi kerana ia boleh meningkatkan produktiviti sesuatu ekonomi atau industri apabila kita menerima teknologi digital. Sebab itu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membangunkan ekonomi digital supaya kita lebih terkehadapan dan buat lebih awal daripada negara lain.
Pertumbuhan ekonomi Malaysia sentiasa konsisten walaupun dilanda krisis ekonomi dan kejatuhan harga petroleum. Tidakkah ini menunjukkan ekonomi negara kita kukuh ?
Malaysia merupakan salah satu negara yang mempunyai perkembangan ekonomi konsisten. Selepas mengalami krisis kewangan global pada 2008-2009, ekonomi negara terus berkembang. Walaupun berlaku kejatuhan harga minyak mendadak pada 2016, ekonomi negara masih berkembang 4.2 peratus. Kemudian ekonomi kita naik balik kepada 5.9 peratus. Harapan kita dengan saiz ekonomi Malaysia sekarang RM1.3 trilion, dalam jangka masa tujuh tahun dan lapan tahun, ekonomi negara akan mencecah RM2 trilion. Semasa awal merdeka dahulu, saiz ekonomi negara Cuma RM4 bilion. Kita mencecah RM1.3 trilion pada tahun 2017.
Pertumbuhan ekonomi Malaysia pada tahun 2017 melepasi unjuran yang dibuat kebanyakkan penganalisis ekonomi termasuk Bank Dunia, tetapi kenapa pembangkang masih mendakwa Malaysia hendak bankrap ?
Kalau cerita pasal ekonomi kita hendak bankrap, saya rasa negara China, Jepun, AS, United Kingdom (UK) dan Korea yang datang melabur ke negara kita tidak pandailah. Kalau pandai, macam mana mereka datang melabur ke negara kita yang kononnya hendak bankrap ? Logiknya mudah sahaja. Adakah China sebagai kuasa ekonomi kedua terbesar di dunia dan Pengasas Alibaba, Jack Ma datang melabur ke Malaysia sebab negara kita hendak bankrap ? Logikkah ?
Kedua, Malaysia adalah negara yang mengamalkan dasar ekonomi yang begitu terbuka. Kita eksport produk elektrik dan elektronik, produk berkaitan minyak sawit, petroleum dan gas serta barangan perkilangan. Eksport Malaysia berkembang hampir 20 peratus pada tahun lalu. Negara yang hendak bankrap, eksport tidak boleh berkembang dua digit.
Satu lagi, kita tengok sistem kewangan Malaysia termasuk perbankan serta pasaran modal iaitu pasaran saham, sukuk, bon bernilai RM5.3 trilion. Sebahagian bank kita mendapat penarafan yang bagus. Kalau negara itu bankrap, bank itu dulu kena bankrap. Kalau bank tidak bankrap, macam mana negara hendak bankrap? Kita perlu memastikan apabila kita meminjam, jangan sampai kita tidak boleh bayar. Itu yang paling penting.hidmatan (GST), duti import dan cukai pendapatan.
Pembangkang sering membangkitkan isu soal hutang negara yang dikatakan tinggi. Bagaimana Datuk Seri melihat paras hutang negara ?
Paras hutang negara adalah sebanyak 50.8 peratus daripada KDNK. Kalau hendak buat perbandingan, paras hutang AS sebanyak 106 peratus daripada KDNK, Jepun (250 peratus) dan UK (88 peratus). Peratusan tidak penting. Yang penting ialah kebolehan membayar. Kalau peratusan rendah tetapi tidak boleh bayar, tidak guna juga.
Selama ini, kerajaan sentiada difitnah dengan pelbagai tohmahan oleh pembangkang. Mungkin dengan Akta AntiBerita Tidak Benar diluluskan nanti, keadaan itu akan berubah. Apa komen Datuk Seri ?
Saya berpandangan bahawa walau apapun orang cakap, kita kena sentiasa memberi maklum kepada masyarakat. Kita kena terus mendidik masyarakat. Masyarakat kita bukanlah masyarakat yang boleh mengambil maklumat secara membuta tuli. Kalau tidak, sudah lama Barisan Nasional (BN) kalah. Kita kena fitnah maksimum. Tetapi oleh sebab masyarakat kita semakin lam semakin pandai, mereka boleh menilai.
Sejak menjadi Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri begitu serius memperjuangkan nasib dan pembangunan orang Melayu Bandar. Boleh kongsikan sedikit usaha Datuk Seri ?
Kalau kamu tengok saya menekankan betapa pentingnya kehidupan Melayu bandar perlu dipertingkatkan kebolehan menjana pendapatan. Kalau mempunyai pendidikan tinggi, mereka boleh menjadi profesional, bekerja di bank, syarikat insurans, syarikat multinasional serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Kalau tidak berpendidikan tinggi, mereka perlu meniaga di pasar, warung dan kedai makan. Sebab itu, saya sentiasa memberi penumpuan kepada aktiviti-aktiviti yang boleh menjana pendapatan kepada golongan yang tertinggal daripada arus pendidikan. Mereka hendak hidup dalam bandar, ada pendapatan dan jadi usahawan-usahawan kecil. Sebab itu, kita bantu. Contoh, kita hendak membangunkan Pasar Chow Kit supaya boleh menarik lebih ramai orang datang ke pasar tersebut. Jadi pembangunan pasar ini dikendalikan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan.
Kementerian Wilayah Persekutuan dan Datuk Bandar Kuala Lumpur yang memilih kontraktor. Saya cuma memperjuangkan pembangunan. Kalau pemilihan kontraktor sudah lambat, ini saya cakap perlu dipantau. Ini sudah di luar bidang kuasa saya. Sebab itu apabila mereka hendak menutup Pasar Datuk Keramat, saya mempertahankan pasar itu kerana saya tahu itulah pasar tempat orang Melayu berniaga. Macam mana kita hendak robohkan Pasar Datuk Keramat?
Sepatutnya kita menaik taraf Pasar Datuk Keramat, bukan cerita pembangunan yang “larikan” (pindahkan) peniaga sebab itu tempat orang cari makan. Saya akui Pasar Datuk Keramat itu bukan lagi pasar yang selesa dan tidak boleh menarik pelanggan yang mempunyai kebolehan berbelanja kerana kotor dan tidak mempunyai sistem saliran yang betul. Jadi sebab itu saya mahu pasar itu dinaik taraf. Tetapi pihak Kementerian Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mahu membangunkan kawasan tersebut. Apabila memperjuangkan kemajuan, janganlah disisihkan peniaga-peniaga sedia ada.
Yang ketiga, saya membantu ramai peniaga runcit yang datang berjumpa dengan saya meminta bantuan seperti khemah, meja, kerusi, gerai dan perkakasan alat perniagan. Semua saya bantu. Asalkan boleh menjana pendapatan dan membantu isi rumah saya akan tolong. Kalau tengok dalam bajet Kementerian Kewangan, saya selalu berbincang dengan Perdana Menteri sentiasa menekankan bagaimana bantuan boleh diberikan kepada tabung-tabung yang boleh membantu usahawan. Sebab saya tahu dalam bandar, kita tidak mempunyai tanah untuk bercucuk tanam. Apa yang kita boleh buat ialah keusahawanan.
Akhir sekali, saya memperjuangkan supaya masyarakat bandar ada rumah yang mampu diduduki dan dimiliki seperti Projek Perumahan Rakyat (PPR). Ini sangat penting. Sebab itu saya sentiasa beritahu DBKL, mana-mana tapak perumahan awam minta tolong gazetkan sebagai kawasan perumahan awam, kos rendah atau sederhana. Jika kita gazetkan, maka apabila dibangunkan semula, mesti rumah kos rendah dan sederhana supaya jangan ditukar dengan status rumah-rumah yang dijual di luar kemampuan masyarakat.
Difahamkan Pasar Datuk Keramat telah dijual kepada sebuah syarikat pemaju. Datuk Seri telah memperjuangkan nasib peniaga ini agak lama, apa perasaan Datuk Seri ?
Saya marah dari segi soal Pasar Datuk Keramat. Bagaimana penjualan ini dilakukan tanpa berbincang terlebih dahulu dengan peniaga dan wakil rakyat. Bagaimana kita hendak memindahkan peniaga dan orang duduk dalam Perumahan Awam Sri Perlis ? Hendak pindah ke mana ? Sebab itu kita kena ada model untuk pembangunan ‘in-situ’ sebab itu bukan kawasan setinggan.
Ikut contoh macam zaman Tan Sri Shahrir Abdul Samad menjadi Menteri Wilayah Persekutuan. Kita buat pembangunan ‘in situ’. Bagaimana kita bangunkan Pasar Chow Kit kita buat pembangunan ‘in situ’, walaupun itu sudah agak terlewat.
Saya hendak mana-mana pemaju yang beli tanah ini tidak boleh menghalau peniaga di Pasar Datuk Keramat. Ini satu-satunya pasar milik peniaga Melayu. Kita mahu pasar ini dibangunkan dan dinaik taraf menjadi lebih moden, bukan dipindahkan peniaga-peniaga ini. Kita sudah buat silap sekali buat Keramat Mall yang orang tak nak. Sekarang kita hendak buat silap sekali lagi.