
KUALA LUMPUR: Sebanyak 21 kelab dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili kira-kira 20,000 ahli di Parlimen Titiwangsa, melaungkan sokongan tidak berbelah bahagi kepada wakil rakyat mereka, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Presiden Sukarelawan Warga Titiwangsa (SWAT), Muhamad Hariff Ahamat, selaku jurucakap kepada kelab dan NGO terbabit berkata, pihaknya menyokong penuh kepemimpinan Ketua Bahagian UMNO Titiwangsa itu.
Malah, beliau berkata, pihaknya yakin Menteri Kewangan II itu yang mesra dipanggil Datuk Jo, akan mengekalkan kemenangan Barisan Nasional (BN) di kerusi berkenaan dengan majoriti lebih besar pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). “Kami ingin menegaskan, Datuk Jo adalah wakil rakyat yang sangat disenangi ramai, mudah didekati dan sentiasa meluangkan masa bersama rakyat setiap minggu. “Seluruh penduduk, malah kami kelab dan NGO di Titiwangsa amat serasi dengan keprihatinan Datuk Jo, yang sentiasa dekat dengan rakyat melalui pelbagai program yang diadakan. “Malah, klinik masyarakat bertemu dengan semua pengadu di Titiwangsa yang hendak meminta pertolongan setiap Jumaat, dilaksanakan dari 2010 lagi iaitu sebelum beliau menjadi wakil rakyat,” katanya pada sidang media di Taman Maluri, di sini, hari ini.
Pada majlis itu, kira-kira 100 wakil daripada 21 kelab dan NGO terbabit hadir bagi memberikan sokongan, antaranya Gerakan Belia 4B Kawasan Titiwangsa, Persatuan Kelab Belia Malaysia (MAYC), Sukarelawan Warga Titiwangsa (SWAT), Majlis Belia Kawasan Titiwangsa dan Persatuan Anak-Anak Jelatek Kuala Lumpur. Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan Parlimen Titiwangsa, Persatuan Tarik Tali Malaysia, Titiwangsa Recreational Sports Club (Trex), Kelab Ikatan Belia Raja Muda Damai, Komuniti 1Malaysia Taman Maluri, Komuniti 1Malaysia Kampung Paya, Gabungan Anak-Anak Muda Kampung Baru dan Kelab DJ40. Selain itu, Kelab Belia Ekspresi, Kelab Belia Amal Titiwangsa, Pertubuhan Pemuda Komuniti Seri Perlis 1, Persatuan Belia Bakti Keramat Mall, Kuala Lumpur Women of Wisdom (KLWOW), Kelab Bola Sepak Super Strikers, Kelab Media Siber Kuala Lumpur dan NRC Titiwangsa.
Muhamad Hariff berkata, pihaknya perlu tampil menunjukkan sokongan terhadap Datuk Jo apabila diserang bertali arus daripada Kelab Aku Budak Chow Kit (KABCK). “Mana datang kelab ini pun kita tak tahu. Baru tubuh terus nak tunjuk hero. Kami juga pelik dengan kelab terbabit kerana semalam mengaku memasang kain rentang (memburukkan Datuk Jo), tetapi pada 20 Mac lalu kata bukan dia yang pasang. “Jadi, apa motif? Ia mengganggu keharmonian kami di Titiwangsa dan kelab kami ini,” katanya sambil mendakwa KABCK telah menyalahi Akta Pertubuhan, Seksyen 13 (1) (C) (ii)., yang bertentangan dengan keamanan, kebajikan dan ketenteraman awam serta akhlak.
Minggu lalu, gambar gegantung tertera ‘Say No!! To DJ’ dan ‘kami ahli UMNO akar umbi Titiwangsa memohon kepada YAB Perdana Menteri agar memilih calon lain selain daripada Datuk Johari #TolakJohariGhani #JoeSombong #JoeAngkuh #asalbukanjoeghani @JoeBongkak #ABJ, tersebar luas di media sosial. Gambar tu dikatakan diambil di sekitar kawasan Chow Kit dan Keramat, antara kawasan dalam Parlimen Titiwangsa. Bagaimanapun, Johari kemudian dilapor menyifatkan tindakan `nakal’ pihak tertentu itu sebagai asam garam politik.
Sumber : BH Online 28 Mac 2018