Kementerian Kewangan dan agensi-agensi di bawahnya merupakan tonggak kepada kekukuhan ekonomi negara. Baik dari segi merangka dasar-dasar ekonomi utama, pengurusan sistem kewangan mahupun tadbir urus kutipan hasil dan perbelanjaan negara, kita bertanggungjawab untuk terus memperkasa pertumbuhan ekonomi, mencipta peluang-peluang ekonomi baharu serta menjadi peneraju untuk memastikan ekonomi kita yang pada hari ini bersaiz RM 1.3 trillion kekal mampan.

Kita juga komited untuk meningkatkan taraf hidup rakyat di bawah konsep usaha membangunkan ekonomi secara inklusif, menyeluruh dan mampan. Selain daripada mewujudkan infrastruktur asas yang utama seperti tuan puan sedia maklum, misalnya MRT, pan borneo dan ECRL, kerajaan juga giat merencanakan inisiatif-inisiatif yang boleh membantu memperkasa rakyat untuk menambah pendapatan, misalnya melalui program-program seperti erezeki, eusahawan, Mobile Kiosk 1Malaysia dan 1Azam.

Saya mengajak semua warga kementerian dan agensi untuk mengekalkan azam dan iltizam kita sebagai penjawat awam, khususnya dalam meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada “our stakeholders” termasuk orang awam, badan korporat dan kementerian-kementerian, serta agensi-agensi kerajaan yang lain.

Amatlah penting bagi kita untuk terus mengamalkan nilai integriti, kepimpinan serta mengamalkan budaya keterbukaan dalam membentuk sesuatu dasar, dan kemahiran berkomunikasi yang berkesan. Matlamatnya cukup jelas – kita mahukan sesuatu dasar difahami dengan baik, dan pelaksanaan dasar ini dapat dicapai dengan efektif.

22 Mac 2018 : Hari Terbuka Kementerian Kewangan 2018, Kementerian Kewangan Malaysia, Putrajaya