Secara keseluruhannya, sistem kewangan kita berada pada tahap yang kukuh dan baik. Kedudukan yang baik ini secara langsung menjamin kestabilan dan mendorong kerancakan ekonomi negara secara keseluruhan. Seiring dengan pembangunan pesat negara, industri kewangan di Malaysia juga turut melalui evolusi termasuk penghasilan produk dan perkhidmatan yang semakin pelbagai, sekaligus memberi pilihan yang lebih banyak kepada para pengguna.

Dari segi kepelbagaian produk kewangan, kini terdapat pelbagai jenis produk yang merangkumi produk kewanga konvensional serta produk kewangan shariah yang boleh diakses dengan mudah, melalui pelbagai saluran penyampaian, termasuk atas talian dan digital. Dari aspek keterangkuman kewangan (financial inclusion) pula, kadar peratusan yang direkodkan bertambah baik setiap tahun. Setakat 2016 misalnya, Bank Dunia mendapati bahawa 92% rakyat Malaysia mempunyai bank akaun yang aktif berbanding 87% pada tahun 2011.

Oleh itu, agenda untuk memastikan rakyat Malaysia mempunyai pengetahuan, kemahiran dan tingkah laku yang wajar apabila membuat keputusan kewangan merupakan agenda penting untuk negara. Atas dasar itulah, pendidikan kewangan yang berterusan dan efektif, selain mempraktikkannya dari semasa ke semasa, boleh menambah pemahaman pengguna tentang produk dan perkhidmatan kewangan selain meningkatkan kemahiran serta keyakinan mereka untuk membuat keputusan kewangan yang bijak dalam kehidupan seharian.

Di pihak kerajaan, melalui kerjasama antara kementerian dan agensi yang terlibat, kita akan meneruskan usaha mendidik masyarakat, memudahkan rakyat untuk mendapatkan maklumat yang terkini, mengurangkan masa maklum balas bagi setiap pertanyaan yang diterima, serta memaksimakan medium pendidikan di peringkat sekolah dan universiti sebagai platform utama bagi menyemai budaya celik kewangan. Kerajaan melalui pelbagai agensi yang berkenaan juga sedang memperhalusi kaedah pendekatan bersasar bagi mendekati golongan yang terdedah atau “vulnerable group” seperti golongan pelajar, graduan, profesional muda dan pesara. Pendekatan bersasar adalah perlu kerana kita sedia maklum bahawa golongan yang berbeza terdedah kepada risiko yang berbeza. Kaedah pendekatan yang berlainan juga diperlukan bagi menyampaikan mesej pengurusan kewangan dan pelaburan dengan baik.

Dari tahun ke tahun pula, bilangan dan nilai ganjaran BSN SSP dipertingkatkan untuk memberi galakan dan dorongan yang lebih, bukan sahaja untuk meningkatkan bilangan penyimpan yang baharu, sebaliknya untuk menggalakkan penyimpan sedia ada untuk menambah simpanan mereka dari semasa ke semasa. Dari segi pembudayaan amalan celik kewangan di peringkat sekolah, pendidikan kewangan dari usia muda merupakan satu langkah yang cukup penting. Seperti yang kita semua tahu, kalau hendak mendapatkan buluh yang baik, kita perlulah melentur rebungnya. Justeru, saya berharap agar program BSN Smart Junior dan BSN Skim Galakan Simpanan Pelajar (SGSP) dapat diperhebatkan lagi dalam kalangan anak-anak kita di seluruh negara.