Pembangkang hari ini menggesa Parlimen untuk mengkaji semula keputusan undi belah bahagian Rang Undang-Undang Perbekalan (RUU) 2018 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) yang diluluskan pada hari Isnin lalu.

Permintaan itu dibuat oleh datuk Johari Abdul (PKR-Sungai Petani) semasa persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau mendakwa undi pembangkang terikat dengan wakil rakyat BN, dan bukannya mereka dikalahkan melalui satu undi.

“(Walaupun) Seksyen 99 (Peraturan Mesyuarat) mengatakan keputusan Speaker dalam satu hal itu muktamad,

“Namum saya berdiri untuk minta petua Datuk Speaker kerana dalam proses pengiraan undi semasa (KPDNKK) yang berlaku pada 20 November lalu, terdapat kilaf, iaitu apabila kita lihat diumumkan yang menykong ialah 52, tidak sokong 51, tidak undi, 2.

“Tetapi setelah kita semak balik, yang sokong 52 tetapi tidak sokong (juga) 52, bukan 51,” kata Johari.

Sehubungan itu, Johari meminta pihak speaker meneliti semula kertas itu bagi menentukan jumlah undi yang sebenar.

“Oleh demikian bolehkah pihak speaker menunjukkan atau tengok balik kertas itu adakah betul yang tidak menyokong itu 51, bukan 52 seperti yang saya ada maklumat,” katanya.

Walau bagaimanapun, Timbalan Speaker Datuk Ismail Mohamad Said menolak permintaan Johari.

“Sungai Petani, undi belah bahagi telah dijalankan dalam dewan dan penghitung-penghitung undian telah serah secara rasmi di dalam dewan kepada setiausaha dewan.

“Setiausaha dewan telah memastikan bilangan adalah tepat dan betul dan telah diumumkan oleh speaker.

“Dan saya kira keputusan itu adalah keputusan muktamad,” kata Ismail.

Persidangan Dewan RakyatIsnin lalu kecoh apabila penggubal undang-undang daripada kedua-dua pihak berperang mulut kerana tidak berpuas hati dengan keputusan undi belah bahagian.

Kekecohan itu tercetus apabila G Manivannan (PKR-Kapar) bangun sebaik sahaja Menteri KPDNKK Datuk Seri Hamzah Zainudin menggulung perbahasan RUU Perbekalan peringkat jawatankuasa bagi kementeriannya.

Manivannan telah mencadangkan supaya undi belah bahagian diadakan untuk menentukan sokongan terhadap RUU Perbekalan tersebut dan cadangan itu kemudian diterima oleh Timbalan Speaker Datuk Seri Ronald Kiandee.

RUU Perbekalan untuk kementerian itu berjaya diluluskan selepas menerima 52 undian sokongan berbanding 51 undian bantahan.

Read more at https://www.malaysiakini.com/news/402904#pCgyMglbps0fkFHw.99