Shahril Hamdan

Diskriminasi Pihak Majikan

Pada 20 Febuari 2016, Shahril telah mengeluarkan satu kenyataan media berhubung dengan diskriminasi oleh pihak majikan di sektor swasta dalam proses pengambilan pekerja. (http://on.fb.me/1TcgUcx)

Kenyataan media tersebut telah disiarkan di Berita Harian (Sabtu 20 Februari 2016) mukasurat 18 (Nasional). Saya mengesyorkan kepada kerajaan untuk mewajibkan majikan yang mengenakan syarat boleh berbahasa Mandarin dalam proses pengambilan pekerja supaya mengemukakan bukti bahawa syarat itu memang merupakan satu keperluan untuk kerja terbabit.

KENYATAAN MEDIA

BIRO PROFESIONAL MUDA, PEMUDA UMNO MALAYSIA

WUJUDKAN PENYELESAIAN PERUNDANGAN BAGI MENGHENTIKAN DISKRIMINASI DI SEKTOR SWASTA – wajibkan majikan kemuka bukti kukuh keperluan bahasa mandarin

  1. Biro Profesional Muda merujuk kepada laporan berita oleh Free Malaysia Today pada 17 Febuari 2017 bertajuk “Malays Less Likely To Get Engineering Jobs” yang melaporkan tentang satu seminar oleh Dr Lee Hwok Aun, pensyarah senior Universiti Malaya di University of Nottingham, Semenyih, Selangor yang telah membuat satu kajian bersama Dr. Muhammed Abdul Khalid (pengarah kajian Institut Kajian Khazanah) mengenai diskriminasi di tempat kerja. Sungguhpun kajian yang dipetik oleh beliau dilaksanakan pada tahun 2012, tetapi senario semasa memperlihat keadaan yang sama masih berlaku. Antara hasil kajian mereka adalah:
    1. Pemohon pekerjaan yang berbangsa Cina lebih berkemungkinan untuk mendapat kerja-kerja kejuruteraan dan perakaunan berbanding pemohon berbangsa Melayu.
    2. Apabila dua resume yang sama dihantar, kebarangkalian resume oleh pemohon Melayu untuk diterima dan dipanggil ke temuduga adalah 16.7% kurang daripada pemohon Cina.
    3. Syarikat-syarikat yang dikuasai oleh orang Cina dan orang asing adalah lebih berkemungkinan untuk memanggil pemohon Cina berbanding pemohon Melayu.
    4. Keperluan Bahasa Cina sebagai syarat diambil bekerja lebih menguntungkan pemohon Cina dan mengurangkan kebarangkalian pemohon Melayu dipanggil.
  2. Kami melahirkan rasa amat kecewa dan khuatir mengenai dapatan kajian ini. Kami mengambil maklum fenomena ini sering diselindungi melalui permintaan majikan untuk kepakaran pekerja berbahasa Mandarin – kononnya sebagai keperluan komersil sedangkan ia mampu dijadikan satu alasan bagi melaksana diskriminasi kaum. Apatah lagi, jika diskriminasi sudah boleh berlaku di tahap pengambilan pekerja itu sendiri, adalah amat berkemungkinan ia juga berlaku secara sistemik di segenap lapisan syarikat.
  3. BPM mengambil maklum bahawa ada pihak yang akan cuba mengaitkan perkara ini dengan amalan pengambilan pekerja di sektor awam dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Bagi kami, kaedah pengambilan pekerja di sektor awam dan GLC bukanlah satu alasan untuk sebarang amalan diskriminasi di dalam sektor swasta kerana sektor awam dan GLC juga semakin terbuka dalam memastikan kepelbagaian kaum di tempat kerja mereka.
  4. BPM sebagai mewakili aspirasi golongan profesional muda dan Generasi Y ingin melihat satu senario di mana proses pengambilan pekerja merentasi sektor awam, GLC, dan swasta adalah lebih berasaskan merit dan keupayaan, bukannya sentimen perkauman. Maka, kami menggesa sektor swasta sebagai majikan utama di Malaysia memastikan keadilan dalam sistem pengambilan pekerja mereka.
  5. Bagi mencapai aspirasi ini, BPM mengesyorkan agar satu penyelesaian perundangan dilaksanakan bagi memantau tindakan syarikat swasta dalam pengambilan pekerja – seperti mewajibkan pihak majikan mengemukakan bukti kukuh sebarang keperluan untuk menggunakan Bahasa Mandarin di syarikat mereka.
  6. Selain itu, BPM juga mencadangkan agar insentif-insentif seperti potongan cukai diberikan kepada syarikat-syarikat yang mampu mencerminkan kepelbagaian kaum dalam komposisi pekerjanya.

 

SHAHRIL HAMDAN

PENGERUSI BIRO PROFESIONAL MUDA, PEMUDA UMNO MALAYSIA

EXCO PEMUDA UMNO MALAYSIA

Komen

Your email address will not be published. Required fields are marked *