Saloma Link siap Sept. 2019
KUALA LUMPUR 29 April – Pelancaran projek Saloma Link di Kampung Baru bakal menjadi titik tolak kepada pembangunan lebih pesat di kawasan perkampungan tradisi itu dengan adanya akses terus ke Menara Berkembar Petronas KLCC melalui Jalan Ampang di sini.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Ghani berkata, kawasan tersebut mempunyai potensi yang besar terutamanya bagi menarik lebih ramai pelancong asing untuk melihat keistimewaan perkampungan Melayu di negara ini.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Titiwangsa berkata, Saloma Link hasil cetusan idea Perbadanan Pembangunan Kampong Bahru (PKB) itu, merupakan kemudahan pejalan kaki yang bakal menjadi antara binaan ikonik di ibu negara yang akan dibina dengan anggaran kos RM30 juta dan dijangka siap pada 30 September 2019.
Menurutnya, laluan berbumbung sepanjang 68 meter itu akan menghubungkan Lorong Raja Muda Musa 3 berhampiran Stesen transit aliran ringan (LRT) Kampung Baru dengan Jalan Saloma yang terletak di sisi bangunan Menara Public Bank berhadapan Jalan Ampang, tidak jauh daripada KLCC.
“Seni bina berkonsepkan sirih junjung itu akan merentasi Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) dan bakal memendekkan masa perjalanan pejalan kaki seperti warga kota mahupun pelancong asing sekitar 15 minit sahaja,” kata-nya kepada pemberita di sini.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan pembinaan projek ber-kenaan di sini.
Yang turut hadir, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz dan Pengerusi PKB, Datuk Affendi Zahari.
Menurut Johari, beliau akan berusaha untuk memastikan proses pembangunan Kampung Baru akan dilaksanakan dengan mengekalkan identiti kampung itu sebagai ‘Kampung Melayu’.
“Saya akan pastikan Kampung Baru sebagai hak milik kekal orang Melayu,” katanya
Sumber : Utusan Online; 29 April 2018