Pertandingan Tiga Penjuru di Parlimen Titiwangsa (P.119)

Barisan Nasional Titiwangsa mengesahkan pencalonan YBhg. Datuk Seri Johari Bin Abdul Ghani (UMNO) selepas selesai proses penamaan calon pada jam 11.00 pagi yang berlangsung di Sekolah Menengah Aminuddin Baki, Jalan Kg. Pandan, 55100 Kuala Lumpur. Pengumuman pengesahan calon-calon yang bertanding di Parlimen Titiwangsa (P.119) dibuat oleh Pengurus Pilihan Raya Parlimen Titiwangsa.

Dalam perhimpunan awal pagi tadi bersama lebih 2,000 orang penyokong dari semua parti komponen Barisan Nasional, YBhg. Datuk Seri Johari Abdul Ghani mengucapkan jutaan terima kasih atas sokongan padu yang telah diberikan oleh semua penyokong beliau. Mereka semua kemudiannya berarak beramai-ramai ke pusat penamaan calon bersama Datuk Seri Johari sebagai menunjukkan sokongan padu kepada calon Barisan Nasional.

YBhg. Datuk Seri Johari akan mempertahankan kerusi Parlimen Titiwangsa ini selepas mengalahkan wakil PAS, Ahmad Zamri Bin Asa’ad Khuzaimi pada PRU13 dengan majoriti 866 undi. Pertandingan tiga (3) penjuru kali ini akan menyaksikan beliau yang memegang jawatan Menteri Kewangan II dalam kabinet sebelum pembubaran bersaing dengan wakil PAS Mohammad Noor Mohammad dan wakil Pakatan Harapan, Rina Mohd Harun dari parti PPBM.

Dengan latar belakang korporat dan rekod perkhidmatan yang cemerlang kepada penduduk di Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari berharap parti-parti yang bertanding di Titiwangsa mengamalkan budaya kempen yang bersih dan tidak menyebarkan fitnah serta khabar angin yang tidak benar. Suasana aman dan harmoni di Malaysia perlu dikekalkan walaupun semasa kempen pilihan raya bagi menghadapi PRU yang ke-14 ini.

Beliau berharap agar terus diberikan peluang untuk berkhidmat kepada pengundi di Parlimen Titiwangsa. Beliau berkata; “Rakyat perlu menilai calon dan mereka juga perlu menilai parti kerana prinsip asas wakil rakyat daripada kawasan mereka itu dipilih akan turut mewakili pengundi ke peringkat nasional”.

“Jentera parti harus berkerja keras bagi memastikan semua pengundi keluar mengundi Barisan Nasional pada 9 Mei 2018 nanti dan memastikan kemenangan Barisan Nasional di Titiwangsa.”

Sumber Berita : Unit Komunikasi P119, Barisan Nasional Titiwangsa