Pembangkang pernah tawar saya jadi calon: Datuk Jo

KUALA LUMPUR – Calon BN Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani (Datuk Jo) mendedahkan beliau pernah ditawarkan sebagai calon untuk parti pembangkang pada PRU10 namun tidak menerima tawaran itu kerana berpegang kepada perjuangan bersama BN.

Johari berkata, meskipun tidak menjadi calon di Titiwangsa waktu itu walaupun telah disebut-sebut sebagai calon, ia tidak menjadi sebab untuk beliau mengubah pendirian.

“Pada 2004 juga saya digambarkan menjadi calon tapi akhirnya calon payung terjun yang ditempatkan.

“Tetapi saya tidak kecewa. Malah menawarkan diri menjadi pengarah PRU. Pada 2008 saya telah pegang jawatan sebagai Timbalan Umno Bahagian sehingga 2010 sebelum menjadi Pemangku Ketua Bahagian.

“Saya kemudiannya buka pusat khidmat sendiri. Saya lantik pekerja sepenuh masa untuk saya bantu masyarakat. Ketika itu ada yang kata saya perasan nak jadi wakil rakyat. Pada saya apa yang saya buat adalah ikhlas demi membalas pengorbanan dan perjuangan kerajaan BN sehingga membolehkan saya berjaya hari ini,”katanya pada Majlis Santai Bersama Pesara Kawasan Parlimen Titiwangsa, di sini, hari ini.

Johari menambah, kedudukan beliau sebagai calon Titiwangsa pada PRU13 sendiri adalah berdasarkan sistem BN tanpa sebagai usaha melobi untuk menjadi calon.

“Saya tidak pernah jumpa sesiapa (pucuk pimpinan) untuk minta jadi calon. Tapi sistem BN memang saya hargai kerana dalam keadaan kalah boleh memilih orang siapa yang layak jadi calon

“Bila jadi calon, cabaran berterusan. Bila kempen ada rakan-rakan yang berjuang dalam Umno marah saya jadi calon kerana saya dikatakan tidak sesuai kerana terlalu tegas, dan tidak boleh dalam perjuangan.

“Pada saya, bila jadi wakil rakyat, saya mahu buat perkara yang betul. Berkhidmat untuk rakyat dalam kawasan. Membalas jasa baik kerajaan BN bagaimana saya dari seorang anak setinggan di parlimen ini boleh berjaya hari ini,” katanya.

Sumber : Sinar Online; 30 April 2018