Johari yakin pertahankan Parlimen Titiwangsa

KUALA LUMPUR 24 April – Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani melaungkan keyakinan tinggi untuk mempertahankan jawatannya dengan mengambil kira sumbangannya sepanjang lima tahun menjadi wakil rakyat di kawasan tersebut.

Bagaimanapun Johari yang juga Menteri Kewangan II, mengakui persaingan tiga penjuru ini yang melibatkan Mohammad Noor Mohammad mewakli PAS dan wakil Pakatan Harapan, Rina Harun merupakan pengalaman pertama dihadapinya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei ini.

“Saya tidak pernah berdepan dalam keadaan begini tetapi saya yakin dengan apa yang telah saya lakukan selama lima tahun ini. Saya mampu mempertahankan tempat ini dengan majoriti lebih tinggi namun semuanya terpulang kepada pengundi untuk membuat pilihan.

“Dalam pilihan raya kita tidak boleh mengambil mudah dan tiada mana-mana pemimpin boleh menjamin kemenangan tetapi pengundi tahu dan dapat melihat apa yang dilakukan saya sepanjang lima tahun menjaga kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir ke Majlis Santai Mesra bersama anggota-anggota Sukarelawan Ikatan Relawan Rakyat (RELA) Wilayah Persekutuan di Dewan Komuniti, Command Center Barisan Nasional (BN), hari ini.

Beliau turut menolak strategi memburukkan calon lain, sebaliknya lebih mengutamakan untuk membantu pengundi di kawasan Titiwangsa.

Sumber : Utusan Online; 25 April 2018