Jangan pilih wakil rakyat ‘nomad’ – Johari

KUALA LUMPUR: Taktik pakatan pembangkang menukar dan meletakkan calon mereka di kawasan berbeza setiap kali pilihan raya akan menyukarkan rakyat memilih wakil penduduk ke peringkat nasional.

Ketua UMNO Bahagian Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata taktik itu sebenarnya menyebabkan rakyat hanya memilih pemimpin di peringkat nasional tanpa ada sebarang perwakilan dari kawasan mereka.

Katanya, ia berbeza dengan Barisan Nasional (BN) yang akan mengangkat dan memilih semula calon terbabit jika mereka terbukti boleh menjalankan tugas dengan baik di kawasan masing-masing.

“Rakyat akan menilai calon dan mereka juga menilai parti kerana prinsip asas wakil rakyat daripada kawasan mereka itu dipilih mewakili penduduk ke peringkat nasional.

“Kerana itu apabila berada di Titiwangsa, saya tidak bawa semua protokol saya sebagai menteri, kerana saya adalah wakil rakyat untuk penduduk di kawasan ini (Titiwangsa).

“Wakil rakyat yang dipilih kena jaga semua dari soal keagamaan, sosial, perniagaan dan budaya membabitkan semua lapisan masyarakat serta kaum,” katanya selepas pelancaran pembinaan Saloma Link di sini, sebentar tadi.

Saloma Link adalah projek infrastruktur strategik laluan pejalan kaki bertingkat menghubungkan Kampung Baru terus ke pusat pelancongan utama Menara Berkembar KLCC.

Dengan reka bentuk unik mirip tradisi sirih junjung, laluan pejalan kaki itu akan memendekkan masa pengguna kedua-dua arah hanya 15 minit berbanding 35 minit kini, selain tarikan lokasi strategik untuk merakam gambar tercantik KLCC.

Mengulas lanjut, Johari berkata, akses penghubung baharu itu akan memudahkan kunjungan pelancong domestik dan luar negara ke Kampung Baru, selain merancakkan lagi aktiviti sosioekonomi di kawasan terbabit.

“Mereka boleh merasai suasana perkampungan Melayu dalam bandar yang dibuka kira-kira 118 tahun dulu.

“Walaupun ada bahagian sudah mengalami transformasi, pelancong masih boleh mendapatkan restoran dan makanan tradisi negeri berpusat di Kampung Baru ini,” katanya.

Sumber : BH Online; 26 April 2018