BN Titiwangsa sediakan kenderaan angkut pengundi

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) Titiwangsa akan menyediakan 1,000 pengangkutan percuma bagi mengambil dan menghantar pulang pengundi ke pusat mengundi pada hari pengundian minggu depan.

Calon BN Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata ia bertujuan memastikan jumlah pengundi keluar menunaikan tanggungjawab meningkat, sekali gus mencerahkan lagi peluang BN untuk mempertahankan kerusi itu.

Ketua UMNO Bahagian Titiwangsa itu berkata inisiatif berkenaan juga diharapkan dapat memastikan lebih 4,000 pengundi yang tidak keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dapat dikurangkan. Berdasarkan kepada analisis yang beliau lakukan selepas PRU-13, tiga sebab kenapa lebih 4,000 pengundi tidak keluar mengundi.

Ia membabitkan halangan untuk golongan tertentu seperti veteran dan ibu tunggal pergi ke pusat mengundi kerana tiada kenderaan dan tidak tahu lokasi pusat mengundi serta lalai sehingga tidak sempat mengundi.

“Ada juga tanggapan tidak perlu mengundi kerana yakin calon BN akan menang. Tanggapan ini berbahaya kerana saya hanya boleh menang jika pengundi keluar mengundi saya.

“Jadi, kita akan sediakan 1,000 pengangkutan percuma dan petugas serta sukarelawan bukan saja akan menghantar, tetapi menjemput pengundi di depan rumah mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas program santai bersama pesara anjuran Kelab UMNO Pesara Kanan Kerajaan Malaysia (KUPKKM) di sini, hari ini. Yang turut hadir, Presiden KUPKKM, Tan Sri Dr Aseh Che Mat.

Pada PRU-14, Johari dicabar Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Mohamad Noor Mohamad dan calon PKR, Rina Harun yang juga Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM). Pada PRU-13, Johari yang juga Menteri Kewangan Kedua menang dengan majoriti 866 undi.

Sementara itu, Johari menolak dakwaan kononnya mana-mana parti politik yang mentadbir kerajaan akan melaksanakan dasar dan kepentingan rakyat yang sama seperti dilakukan BN. Katanya, keseimbangan politik dan ekonomi sesebuah negara bergantung kepada pihak yang mentadbirnya dan ia telah berjaya dibuktikan oleh BN sepanjang 60 tahun mentadbir Malaysia.

“Siapa cakap kalau tukar kerajaan sama saja? Lihat negara Syria, Afghanistan, Iraq dan Mesir, negara yang mempunyai ramai majoriti orang Arab. Mereka telah hilang kestabilan politik dan hilang pelancong yang memberi sumbangan besar dalam ekonomi.

“Begitu juga dengan Filipina yang pernah menjadi negara kedua terkaya di Asia selepas Jepun ketika era kemerdekaan pada tahun 1957. Malah, dalam tempoh 10 tahun selepas itu, ramai pensyarah di universiti tempatan diambil dari Filipina. Namun, selepas 60 tahun situasi itu berubah.

“Kita kini lebih maju dari mereka apabila pendapatan perkapita Malaysia adalah kira-kira AS$10,000 manakala Filipina pula di antara AS$2,000 hingga AS$3,000.

“Kenyataan bahawa jika menukar kerajaan sama saja adalah tidak tepat,” katanya sambil meminta pengundi supaya mengundi berdasarkan fikiran yang waras dan bukan sentimen.

Sumber : BH Online; 30 April 2018